PUTRAJAYA, 12 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini untuk memberi keterangan dipercayai berhubung siasatan dakwaan kes penyelewengan dana sebuah yayasan.
Ini merupakan kali kelima Anggota Parlimen Bagan Datuk berkenaan hadir ke suruhanjaya itu bagi memberi keterangan.
Ahmad Zahid yang berpakaian baju putih tiba di bangunan berkenaan pada pukul 9.18 pagi tanpa polis pengiring dan terus memasuki perkarangan bangunan itu sambil tersenyum kepada wakil media yang merakam gambarnya.
Puluhan wartawan kelihatan berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM seawal pukul 8.00 pagi untuk membuat liputan kes berkenaan.
Menurut sumber SPRM, proses mengambil keterangan akan ditangguhkan pada pukul 12 tengah hari dan akan disambung pada pukul 3 petang hari ini.
Ahmad Zahid sebelum ini memberi keterangan berhubung kes yang sama kali ketiga dan keempat pada Rabu dan semalam.
Pada Julai lepas, Ahmad Zahid memberi keterangan sebanyak dua kali kepada SPRM berhubung siasatan terhadap dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya yang ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti amal. – Bernama