KOTA SAMARAHAN, 8 Okt – Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan dikenakan tindakan tegas.
Panglima TDM, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, tiada kompromi dan beliau tidak teragak-agak menamatkan perkhidmatan anggota yang terlibat mengikut undang-undang tentera.
“Disiplin adalah perkara utama dalam TDM, ketepikan keselesaan hidup sebagai orang awam, selagi dalam tentera, peraturan tentera kita guna pakai dan tidak ada kompromi.
“Laksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada anda sebaik mungkin, setiap anggota tanpa mengira pangkat memainkan peranan yang penting bekerja secara profesional dan terpuji,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Jamuan Ringan sempena Lawatan Ulung Panglima TDM ke Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat dan Divisyen Pertama Infantri Malaysia di Kem Muara Tuang di sini hari ini. – Bernama