Home PolitikPakatan Harapan Pergaduhan dengan PM terdahulu jadikan otak saya aktif bekerja – Tun M

Pergaduhan dengan PM terdahulu jadikan otak saya aktif bekerja – Tun M

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pergaduhannya dengan perdana menteri terdahulu antara faktor yang membuatkan otaknya aktif bekerja.

“Saya bergaduh besar dengan perdana menteri terdahulu. Jadi setiap masa otak saya aktif memikirkan cara dan kaedah untuk menukar kerajaan.

“Jadi apabila anda sentiasa berfikir, menggunakan otak anda, ini bermakna anda tidak akan menjadi pelupa, seperti yang anda dapat lihat pada orang tua,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada “Persidangan Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi: Meningkatkan Kehidupan, Menghubungkan Komuniti” di sini, hari ini yang turut dihadiri isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Presiden Persatuan Third Age Media Cheah Tuck Wing.

Beliau menjelaskan kemunculannya kembali dalam politik selepas bersara didorong oleh kehendak rakyat untuk menukar kerajaan dan pentadbiran sebelum ini bagi mendapatkan kehidupan lebih baik.

“Dua minggu selepas saya bersara, orang datang berjumpa saya. Mereka tidak gembira dengan pengganti saya. Mereka tanya saya, boleh Tun lakukan sesuatu mengenainya

“Jadi saya mula buat sesuatu. Saya menjadi amat aktif. Sudah tentu apabila pengganti itu akhirnya melepaskan jawatan, kami ada tokoh kedua untuk menggantikan tokoh pertama selepas saya.

“Malangnya sekali lagi orang datang berjumpa saya dan berkata tolong lakukan sesuatu. Buat permulaan saya cuba nasihatkan tetapi tidak berhasil. Kemudian saya memutuskan saya tidak boleh biarkan tokoh ini terus menjadi pemimpin saya, jadi saya keluar parti (UMNO),” katanya.

Beliau berkata untuk membolehkan menukar pentadbiran sebelum ini, beliau menubuhkan parti baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk mengalahkan parti yang pernah dipimpinnya dan seterusnya mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menyentuh tentang generasi sudah berusia, Dr Mahathir berkata kumpulan spesifik itu perlu kekal aktif selepas bersara untuk memastikan badan mereka sihat.

“Ia bukan hanya otot anda tetapi juga otak anda. Jika anda tidak gunakan otak anda, ia cenderung menjadi semakin merosot.

“Kemudian keupayaan untuk bercakap, bersyarah, mengutarakan pendapat, membuat aduan, semua itu akan hilang kerana otak anda tidak lagi berfungsi. Jadi saya berpendapat adalah baik untuk orang tua sentiasa membaca, menulis dan juga bergaduh. Kerana ia satu senaman bagi otak anda,” katanya sambil disambut gelak ketawa oleh audien.

Dr Mahathir, 93, turut berkongsi pengalamannya bahawa sepanjang hidupnya beliau membuat kajian tentang proses penuaan iaitu orang mempunyai peluang lebih baik untuk hidup sehingga usia tua jika mereka tidak menghidap penyakit sukar diubati seperti kanser.

Beliau menegaskan menjadi tua adalah proses biologi tetapi apabila orang tidak menggunakan apa yang mereka ada, tubuh akan menjadi lemah dan mereput.

“Apa yang kita ada Semua kita mempunyai otot. Kita menggunakannya untuk melakukan semua perkara berbentuk fizikal. Jika anda tidak gunakan otot anda, ia akan merosot, hilang kekuatannya dan anda rasa tidak sihat.

“Dan apabila anda rasa tidak sihat, dengan itu anda mahu berehat dan tidur. Apabila anda berehat dan tidur, otot anda tidak digunakan langsung.

“Jadi seperti yang saya katakan, apabila anda tidak gunakan otot anda ia akan menjadi lemah dan semakin lemah. Inilah kecenderungan semua orang tua. Jadi apa yang orang tua patut lakukan Saya fikir mereka tidak sepatutnya pergi tidur (yang tidak sepatutnya),” katanya. -BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!