Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM rampas ketum hampir RM18,000

ATM rampas ketum hampir RM18,000

by Nurulhuda

ALOR SETAR, 7 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mematahkan cubaan menyeludup keluar 199 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai hampir RM18,000 di Pos Sahara, Padang Terap dekat ini, semalam.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, daun ketum terbabit ditemui ditinggalkan di kawasan semak ketika pasukan Batalion Kedua Rejimen Sempadan (2RS) melakukan rondaan kira-kira jam 10.30 pagi.

“Rondaan diketuai Sarjan Mohd Azman Abd Manaf menemukan lima guni putih di kawasan semak sebelum pemeriksaan lanjut mendapati ada bungkusan kecil daun ketum diikat rapi di dalamnya.

“Daun ketum itu dipercayai ditinggalkan di kawasan berkenaan sebelum diseludup pihak ketiga ke negara jiran,” katanya dalam kenyataannya semalam.

Katanya, penyeludupan daun ketum ke Thailand dilihat semakin berleluasa berikutan permintaan dan harganya yang tinggi, iaitu RM90 sekilogram.

Katanya, daun ketum berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!