KOTA SAMARAHAN – Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang menyifatkan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw sebagai pahlawan Iban moden yang mencipta banyak kejayaan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya tentera darat.
“Beliau amat senang untuk didampingi setiap anggota, malah semasa menerajui Medan Timur Tentera Darat banyak kejayaan dicipta, malah berada di tahap cemerlang dari segi operasi dan latihan,” katanya pada Perbarisan Penghargaan Panglima Medan Timur Tentera Darat di Kem Muara Tuang di sini, semalam.
Mundaw, 61, yang berasal dari Sri Aman akan bersara secara rasminya pada 31 Mei 2019 selepas berkhidmat selama 41 tahun enam bulan dalam ATM.
Dalam ucapan beliau, Mundaw berkata ATM mempunyai diplomasi ketenteraan yang baik dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dalam usaha menjaga keselamatan sempadan bersama.
Katanya, dengan adanya hubungan yang baik itu membolehkan tentera kedua-dua negara sering melakukan latihan bersama.
Mundaw mengingatkan anggota tentera agar memikul tanggungjawab dengan penuh disiplin.
Katanya, anggota tentera seharusnya berpegang teguh dengan profesionalisme ketenteraan yang selama ini menjadi amalan ekoran proses pentadbirannya berbeza berbanding jabatan lain.
“Budaya kerja tentera adalah berbeza jika dibandingkan dengan jabatan lain kerana kita berpegang teguh kepada prinsip disiplin diri.
“Oleh itu, jangan sesekali mengamalkan budaya ‘carry on’ apabila tugasan diserahkan kepada satu sama lain tanpa pengawasan,” katanya.
Menurut Mundaw, keputusan akhir dalam sesebuah tugasan akan mencerminkan tahap profesionalisme ketenteraan dalam bridged dan tentera darat secara keseluruhannya.
Terdahulu seramai 27 pegawai dan 769 anggota dari lapan kontinjen di bawah 1 Divisyen terlibat dalam perbarisan penghargaan yang diketuai Leftenan Kolonel Mohd Johari Redzuan dari 71 Batalion Kor Perkhidmatan Diraja. – BERNAMA