Menurut laporan Utusan Online, Mohd. Nazari berkata semasa berada di dalam PAS, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan beliau telah bergerak ke seluruh negara bagi menemui warga ATM untuk menyelami isu-isu yang mereka hadapi.

Bagaimanapun, katanya, selepas dilantik sebagai menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan, Mohamad tiada kesungguhan membela nasib tentera sedangkan beliau lantang mengkritik Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Dulu dia jerit dan mengkritik kerajaan BN, hari ini dia sudah jadi menteri dan kena tunaikan janji kepada anggota dan veteran tentera.

“Dia minta undi tentera dan kata BN zalim tapi hari ini dia sama saja, dua kali lima. Saya terkilan, sepatutnya ada perancangan dan macam-macam boleh dibuat,” katanya dalam ceramah kelompok Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Taman Intan Perdana, di sini malam tadi.

Menurut Mohd. Nazari, salah satu isu yang diperjuangkannya adalah memastikan setiap anggota tentera dan isteri layak menerima dua lot tanah kediaman dan 8 hektar tanah pertanian seperti terkandung di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera 1973.

Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat) itu berkata, sekiranya perkara tersebut dilaksanakan sudah tentu dapat menjamin kebajikan anggota tentera dan keluarga sekali gus mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih bersemangat dan taat.

“Ia sudah dilaksanakan di Bangladesh, setiap anggota tentera dapat 1 hektar tanah. Tanah-tanah mereka didirikan kondominium dan setiap anggota dapat lima hingga enam unit rumah. Mereka tidak mengeluh walaupun gaji rendah kerana tahu kebajikan dijaga oleh menteri pertahanan,” katanya.

Ujarnya, banyak tanah di seluruh negara terutama di kawasan Felda yang boleh diagihkan kepada anggota dan veteran tentera untuk dimajukan dan dibina kediaman.

Mohd. Nazari berkata, sekiranya dipilih sebagai ahli Parlimen, beliau akan membawa usul kepada kerajaan supaya membangunkan bandar baharu veteran tentera untuk didiami golongan itu. – UTUSAN ONLINE