KUALA LUMPUR, 4 Okt – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini akan menghantar sebuah pesawat A400M bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan mangsa gempa bumi di pulau Sulawesi, Indonesia dengan menggunakan sebuah pesawat A400M.
Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Datuk Muhammad Mudzamir Ong Abdullah TUDM berkata, pesawat A400M dari 22 skuadron yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Leftenan Kolonel Baharin Mohamad TUDM akan ditugaskan untuk melaksanakan misi ini.
“Misi ini akan disertai seramai 23 krew dan tiga wakil media yang akan berlepas pagi nanti dari Pangkalan Udara Subang yang dijangka mengambil masa selama dua jam sampai ke Jakarta.
“Setelah tiba di Jakarta misi ini akan bermula dengan mengambil jentera-jentera yang berat dengan menggunakan pesawat A400M.
“Seterusnya A400M akan berlepas di Jakarta ke Palu dengan muatan sehingga 22 tan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
“Pesawat tersebut ditugaskan sebagai pesawat pengangkut membawa barang keperluan secara ulang-alik dari Jakarta ke Palu sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Menurutnya, TUDM amat berpuas hati dengan prestasi pesawat A400M. Setakat ini pesawat itu telah terlibat lebih kurang empat kali dalam misi kemanusian di peringkat antarabangsa.
“TUDM memilih pesawat A400M melaksanakan misi ini ke Sulawesi kerana faktor kemampuan yang lebih baik berbanding C130 terutama dari segi saiz dan berat muatan”, katanya.
Beliau berkata, pesawat tersebut turut membantu dalam membawa keperluan perubatan yang disumbangkan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dari negara ini.
Difahamkan pesawat A400M tersebut akan ditugaskan antara 4 sehingga 10 hari di sana.