JAKARTA, 4 Okt – Pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dalam misi bantuan kemanusiaan mangsa tsunami dan gempa bumi di Palu, Sulawesi tiba di Pangkalan Udara Halim Perdana Kesuma, Jakarta pada pukul 11.15 pagi waktu Indonesia Barat (waktu tempatan).
Misi berkenaan yang berlepas pada jam 10.00 pagi tadi di Pangkalan Udara, Subang disertai seramai 23 krew dan tiga wakil media diketuai Pegawai Memerintah 22 Skuadron, Leftenan Kolonel Baharin Mohamad TUDM.
A400M tiba di Jakarta bagi membantu membawa peralatan menyelamat milik Republik Indonesia. Pada masa yang sama pelbagai barang keperluan turut diterbangkan ke Balikpapan.
Penerbangan pertama A400M dijangka akan berlepas pada pukul 3 petang waktu Indonesia Barat.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM ketika dihubungi oleh Air Times berkata, 2 buah pesawat pengangkut C-130H akan diterbangkan dari Kuching ke Balikpapan bagi membantu operasi bantuan kemanusiaan ke Palu.