PUCHONG, 4 Okt – Seramai enam anggota bomba dari unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) maut ketika terlibat dalam dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Selangor.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, ketika kejadian keenam-enam anggota berkenaan berjaya dinaikkan ke darat namun disahkan meninggal dunia.
“Sewaktu operasi pencarian melibatkan seorang lelaki terjatuh ke dalam lombong terdapat enam orang pegawai bomba PPDA lemas ketika menjalankan operasi pencarian remaja lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam lombong.
“Kesemua pegawai tersebut berjaya dinaikkan ke atas dan pasukan perubatan yang berada di lokasi memberikan rawatan kecemasan, tetapi kesemua enam mereka disahkan meninggal dunia.
“Bagaimanapun, mangsa remaja lelaki yang terjatuh masih belum ditemui,” katanya menerusi kenyataan media.