Home SemasaGlobal Hadiah Nobel Keamanan milik Suu Kyi tidak akan ditarik balik

Hadiah Nobel Keamanan milik Suu Kyi tidak akan ditarik balik

by Noor Sheila Amin

STOCKHOLM, 3 Okt – Ketua Yayasan Nobel, Lars Heikensten, mengaku beberapa tindakan Aung San Suu Kyi dikesali tetapi Hadiah Nobel Keamanan yang dimenangi pemimpin umum Myanmar itu tidak akan ditarik balik.

Bercakap dalam temubual di Stockholm Jumaat lalu, beberapa hari sebelum anugerah tahun ini disampaikan, Heikensten berkata tidak masuk akal untuk menarik balik anugerah itu sebagai reaksi kepada tindakan yang dilakukan sebelum ia diberikan, ketika hakim kerap membincangkan merit pemenang.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan Ogos lalu, menuduh tentera Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai etnik Islam Rohingya dengan niat, dalam operasi yang menyebabkan lebih 700,000 pelarian menyeberangi ke Bangladesh.

Suu Kyi, yang menang Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 kerana berkempen untuk demokrasi dan kini menerajui kerajaan Myanmar, dituduh dalam laporan sama gagal menggunakan kuasa moralnya untuk melindungi penduduk awam.

“Kami lihat apa yang beliau lakukan di Myanmar dipersoalkan dan kami bertegas dengan hak asasi manusia, itu antara nilai utama kami.

“Jadi, sudah tentu beliau bertanggungjawab ke atasnya, itu amat dikesali,” katanya.

Myanmar menolak hasil siasatan PBB sebagai ‘sebelah pihak’.

Ia berkata, tindakan tentera yang menyusul serangan militan ke atas pasukan keselamatan Ogos tahun lalu, adalah serangan sah untuk menangani operasi pemberontakan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!