Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara TUDM juara Kejohanan Payung Terjun ATM 2018

TUDM juara Kejohanan Payung Terjun ATM 2018

by Air Times News Network

KUANTAN, 1 Okt – Pasukan payung terjun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempertahankan kejuaraan selama enam tahun berturut-turut pada Kejohanan Payung Terjun Tertutup ATM 2018 yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4.

Pertandingan yang berlangsung selama 10 hari bermula 21 September lalu sehingga  hari ini melibatkan 176 penerjun daripada 11 pasukan.

TUDM muncul juara keseluruhan selepas berjaya menguasai  empat kategori yang dipertandingkan iaitu ketepatan payung sukan, ketepatan payung tentera, formasi udara dan formasi payung di udara.

Majlis penutup kejohanan itu disempurnakan oleh Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis dan turut dihadiri Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah.

Abu Bakar dalam ucapannya berkata kejohanan ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu untuk meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan peserta.

“Secara tidak langsung, kejohanan ini mampu meningkatkan disiplin anggota tentera yang terlibat. Saya juga bersyukur kerana tiada  kecederaan serius dilaporkan berlaku sepanjang kejohanan ini berlangsung,” katanya.

Sementara itu, johan kategori ketepatan payung sukan individu, Hisyam Sharkawi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata, kemenangannya adalah hasil minat mendalam dalam sukan tersebut.

“Saya banyak melakukan pemerhatian dan belajar daripada pasukan tentera dan polis sejak dari dulu lagi. Semua yang dipelajari saya gabungkan ketika melakukan terjunan.

“Saya telah menyertai pertandingan seumpama ini sejak 2010 dan pernah juga menyertai pertandingan terjunan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain JBPM dan ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM),  kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM40,000 itu turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!