PALU, 1 Okt – Pasukan sukarelawan bencana gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi menghadapi detik sukar ketika cuba tiba ke kawasan terjejas apabila penduduk di daerah berhampiran bertindak merompak barangan bantuan.
Dari negara jiran, tularnya beberapa video yang merakamkan detik kenderaan bantuan kemanusian telah dihalang dan digeledah oleh penduduk tempatan. Media tempatan Indonesia melaporkan kejadian tersebut berlaku ketika konvoi barangan bantuan dalam perjalanan menghampiri kawasan sempadan wilayah yang terjejas.
Salah satu video yang dirakam oleh petugas bantuan menyaksikan kenderaan mereka telah dihalang oleh penduduk tempatan yang dilaporkan mengaku bahawa mereka juga adalah mangsa bencana alam.
Penduduk berkenaan kemudiannya bertindak mengeledah kenderaan terbabit sementara anggota sukarelawan merayu agar penduduk tidak mengambil khemah dan ubat-ubatan yang dihantar ke kawasan terjejas.
Sementara itu, petugas di kawasan terjejas memberikan amaran kepada rakan mereka melalui aplikasi Whatsapp agar mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya apabila menghampiri Donggala dan Mamuju Utara.
Petugas sukarelawan berkata, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dan menjadikan kenderaan pasukan bantuan kemanusian sebagai sasaran.
“Sudah banyak bantuan kemanusian yang dibawa pasukan bantuan telah dirompak. Ada yang bertindak memecahkan cermin kenderaan pasukan bantuan,” kata sukarelawan terbabit dalam pesanannya.