Home Pertahanan dan Keselamatan ATM tidak menyebelahi mana-mana parti politik – Panglima Angkatan Tentera

ATM tidak menyebelahi mana-mana parti politik – Panglima Angkatan Tentera

by M.Daim

SUBANG, 1 Okt – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin hari ini menegaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpegang teguh kepada prinsip tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam perutusan beliau bersempena dengan Perbarisan Hari Angkatan Tentera Malaysia di Subang.

“Sebagai sebuah angkatan profesional, ATM berpegang teguh kepada prinsip atau amalan “Apolotical”, iaitu tidak memihak kepada mana-mana parti politik mahupun terlibat dalam perjuangan parti tertentu.

“Ini merupakan asas terpenting yang perlu diamati oleh setiap warga ATM, bahkan perlu difahami oleh seluruh rakyat Malaysia, agar ATM tidak tercemar dan kekal sebagai sebuah angkatan profesional,” kata Jeneral Tan Sri Hj Zulkifli.

Beliau turut memberi amaran bahawa pelbagai kesan negatif akan berlaku termasuk pertumpahan darah sekiranya prinsip dan amalan apolitical tidak digalas sepenuhnya.

“Sekiranya prinsip ini tidak digalas sepenuhnya, kemungkinan besar salah guna kuasa akan berlaku dan ia akan mencetuskan konflik. Bahkan mungkin pertumpahan darah, yang mana ianya bukanlah jalan penyelesaian terbaik bagi sesebuah negara berdaulat.

“Sungguhpun begitu, ATM akan terus berkhidmat kepada kerajaan hari ini dan akan sentiasa memberi taat yang setia tidak berbelah bahagi kepada Raja dan Negara,” ucap Jeneral Tan Sri Hj Zulkifli,

Beliau turut menyatakan proses peralihan kuasa pasca Pilihan Raya Umum ke-14 adalah bukti ATM kekal memegang prinsip apolitical serta meletakkan kesetiaan kepada Raja dan Negara demi keharmonian dan kedaulatan negara.

“Bagi pihak ATM, saya mengulangi lafaz ikrar taat setia kami yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia,” ikrar Panglima Angkatan Tentera dalam ucapannya.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!