JAKARTA, 30 Sept – Dua rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sulawesi Tengah ketika ia dilanda gempa bermagnitud 7.4 skala Richter dan tsunami,Jumaat lepas.
Berdasarkan maklumat awal, kedua-dua mereka dilaporkan selamat ketika ini dan telah dikeluarkan dari kawasan gempa.
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasioanal Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata dua rakyat Malaysia itu antara 61 rakyat asing yang berada di Sulawesi Tengah ketika gempa itu menggegarkan Kota Palu dan Donggala.
“Rakyat asing dilaporkan selamat kecuali seorang warga Korea Selatan yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan Hotel Roa Roa di Kota Palu,” katanya.
Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata seorang daripada warga Malaysia itu, telah dibawa ke lapangan terbang Palu untuk proses pulang ke Malaysia, manakala seorang lagi dibawa keluar dari kawasan gempa.
“Pihak kedutaan Malaysia juga belum mendapat maklumat lengkap berkenaan identiti kedua-dua rakyat Malaysia itu berikutan masalah komunikasi,” katanya kepada Bernama.
Menurut BNPB, setakat 12 tengah hari ini, 832 mangsa disahkan terkorban manakala 209 gempa susulan bermagnitud 2.9 hingga 6.2 skala Richter direkodkan berterusan berlaku di Sulawesi Tengah setakat 12 tengah hari ini.
Sutopo berkata jumlah korban juga dikhuatiri terus meningkat ketika usaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan bangunan dan rumah mengalami pelbagai kekangan seperti akses jalan raya yang rosak serta jaringan komunikasi dan elektrik yang masih belum pulih sepenuhnya.
Lapangan terbang Mutiara SIS Al Jufri Palu, Sulawesi Tengah pula hanya kembali beroperasi secara manual hari ini berikutan mengalami kerosakan teruk akibat gempa itu dan operasi penerbangan lebih menjurus kepada penerbangan kecemasan, operasi mencari dan menyelamat dan kemanusiaan.
Menurut sumber kedutaan Malaysia, seorang daripada rakyat Malaysia itu dikenali sebagai “Dr Farah” yang kini dilaporkan berada di lapangan terbang Palu manakala seorang lagi lelaki India.
“Pihak berkuasa Indonesia sedang mengambil langkah sewajarnya membantu warga asing yang terkesan akibat gempa dan tsunami itu,” kata sumber berkenaan. – BERNAMA