Home Semasa Tentera melecur, dipaksa rendam dalam air panas

Tentera melecur, dipaksa rendam dalam air panas

by Noor Sheila Amin

BATU GAJAH, 29 Sep – Seorang anggota tentera yang  bertugas di kem di Batu Gajah melecur teruk di kaki dipercayai direndam dalam air panas secara paksa oleh jurulatih dan anggota ‘senior’ kononnya untuk mengubati penyakit cagu.

Akibat kejadian kira-kira jam 3 pagi 14 Ogos lalu di kem berkenaan, mangsa yang berusia 20 tahun terpaksa menjalani pembedahan membuang kulit serta daging kedua-dua kakinya itu.

Mangsa yang baharu tujuh bulan bertugas di kem terbabit dikejarkan ke Hospital Batu Gajah sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada hari kejadian susulan melecur teruk akibat kulit kaki menggelupas dan tertanggal sejurus selepas direndam dalam baldi yang mengandungi air panas bercampur garam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Superintendan Tan Boon Hooi, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa yang membuat laporan polis di Balai polis Kuala Kangsar, semalam.

“Berdasarkan laporan yang diterima, bapa mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai tentera pada 14 Ogos lalu memaklumkan anaknya berada di HRPB dan bapa mangsa kemudian ke hospital berkenaan sebelum mendapati anaknya dalam keadaan melecur yang teruk dan trauma.

“Anaknya memberitahu kedua-dua kaki dipaksa celup ke dalam air panas dalam sebuah baldi oleh seorang sarjan yang juga jurulatih mangsa serta dibantu seorang anggota tentera lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau anggota tentera terbabit kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar berhampiran dengan rumah keluarganya.

Boon Hooi berkata, hasil siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah kem tentera dan menurut mangsa ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi jurulatihnya menawarkan untuk merawat masalah kakinya yang luka dan cagu.

“Mangsa dikatakan bersetuju pada mulanya kerana mempercayai jurulatih terbabit yang sudah menyediakan baldi mengandungi air panas bercampur garam.

“Jurulatih terbabit kemudian mengarahkan mangsa mencelup kedua kakinya ke dalam baldi berkenaan tetapi mangsa menolak kerana dapat merasakan air itu terlalu panas dan akan merasa sakit serta pedih sekiranya mangsa mencelup juga kakinya.

“Mangsa diarah beberapa kali untuk merendam kaki dalam baldi berkenaan namun enggan sebelum jurulatih itu dipercayai secara paksa dengan dibantu seorang lagi anggota tentera bertindak memegang kaki mangsa dan mencelupkannya ke dalam baldi berisi air panas itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa meronta serta menjerit minta dilepaskan, tetapi tidak diendahkan dan kaki mangsa direndam selama kira-kira 20 minit hingga kaki mangsa melecur, kulit menggelupas dan darah keluar dari kaki mangsa.

Seramai tiga individu telah pun ditahan semalam bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!