NEW YORK, 29 Sep – Amerika Syarikat (AS) semalam, mengumumkan penutupan pejabat konsulatnya di Basra, Iraq dan mendakwa keputusan itu diambil susulan ‘serangan’ oleh pasukan tentera yang disokong oleh Iran.
Pada masa sama, Washington memberi amaran kepada pencabarnya bahawa mereka sedia bertindak, jika berlaku sebarang kemusnahan.
Berikutan itu, Setiausaha Negara, Mike Pompeo mengarahkan semua kakitangan konsulat terbabit, supaya segera meninggalkan Basra dan peranan pejabat itu akan diambil alih oleh Kedutaan di Baghdad.
“Saya juga sudah menjelaskan kepada Iran, bahawa Amerika Syarikat tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya dan dengan pantas, jika berlaku sebarang serangan,” katanya dalam satu kenyataan ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini.
Pada masa sama, Jabatan Negara Amerika Syarikat sudah mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyatnya, supaya tidak mengunjungi atau melancong ke Iraq.
Beberapa minggu lalu, Basra digegarkan dengan beberapa insiden demonstrasi oleh penunjuk perasaan yang membangkitkan masalah pengangguran dan ketidakcekapan kerajaan negara yang kaya dengan minyak itu.