Home Pertahanan dan Keselamatan Pegawai tentera, anak maut kemalangan

Pegawai tentera, anak maut kemalangan

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 28 Sept – Seorang pegawai Angkatan Tentera Malaysia bersama anaknya maut dalam kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mersing, petang tadi.

Kemalangan berhampiran Felcra Sungai Ara itu menyebabkan mangsa dikenali sebagai Mohd Bashah Othman, 55 dan anaknya, Muhammad Nursyafiq, 24, maut di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Penolong Penguasa Bomba Jaafar Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.42 petang sebelum bergegas ke lokasi bersama tujuh anggota dan sebuah jentera.

“Apabila sampai di tempat kejadian pihak kita mendapat mangsa yang menaiki kereta Honda City tersepit dalam kenderaan selepas kereta remuk.

Keadaan kereta mangsa Honda City dan Toyota Hilux yang terbabit kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mersing petang tadi.

“Kita mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua beranak itu dalam perjalanan dari Kota Tinggi menuju ke kampung halaman di Mersing.

Jaafar berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala pemandu Toyota Hilux yang cedera dikejarkan ke Hospital Mersing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!