PETALING JAYA, 25 Sept – Persatuan veteran tentera menyifatkan pengumuman kerajaan untuk menyalurkan peruntukan kepada Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Port Dickson, baru-baru ini oleh Menteri Pertahanan sebagai langsung “tidak ikhlas”.
Free Malaysia Today melaporkan, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata bantuan tersebut boleh dipertikaikan memandangkan ia hanya disalurkan ketika hampir tiba pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.
Arshad berkata, meskipun Patriot tidak lagi mempunyai isu dengan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Port Dicskon, namun ia tidak semestinya memberikan “lampu hijau” kepada PKR menggunakan taktik sama yang digunakan oleh kerajaan terdahulu untuk mendapatkan sokongan rakyat.
“Saya memang tahu ada keperluan, pergi tengok kuarters-kuarters mereka memang ada keperluan tapi cara pemberian itu tidak kena pada masa ini.
“Kenapa tidak diberikan dahulu, sekarang nak PRK baru nak beri.
“Apa salahnya kalau buat selepas pilihan raya,” katanya lagi.
Patriot beberapa hari lalu berkata mereka terbuka membenarkan Anwar bertanding di PRK Port Dickson apabila bimbang PKR tidak akan mempedulikan mereka selepas pengunduran Datuk Danyal Balagopal Abdullah.
“Sama macam Barisan Nasional”
Semalam, sebuah portal tempatan turut melaporkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata peruntukan RM500,000 untuk membaiki rumah dan prasarana kakitangan tentera yang disalurkan dekat dengan PRK Port Dickson adalah “gula-gula pilihan raya”.
“Selalunya kita komen tentang Barisan Nasional yang buat macam ini masa pilihan raya dan kerajaan baru tidak perlu ikut mereka macam itu,” kata Maria yang dipetik oleh Free Malaysia Today.
Peruntukan itu diumumkan beberapa hari lalu oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu selepas lawatan kerja ke Port Dickson bagi bertemu anggota Pusat Asas Tentera Darat (PUSASDA) dan meninjau sendiri keadaan RKAT di daerah berkenaan.
Sementara, seorang lagi pesara tentera, Raymond Goh berkata peruntukan tersebut boleh dilihat sebagai satu bentuk korupsi yang dilakukan kerajaan untuk meraih undi di Port Dickson.
“Tujuan akhirnya adalah mereka mahu mendapatkan undi.
“Selepas PRK, mereka boleh buat apa yang mereka mahukan tetapi jika sebelum PRK, ia tidak disokong dan tidak digalakkan,” katanya.
PRK Port Dickson dijadualkan akan berlangsung pada 13 Oktober depan.
Pilihanraya Kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Danyal bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan kembali ke Parlimen.