KUALA LUMPUR, 25 Sept – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan BN tidak bertanding dalam PRK Port Dickson.
Katanya, beliau lebih gembira sekiranya tidak berlaku sebarang pertandingan dalam PRK tersebut.
“Saya menyambut baik sebarang pertandingan tetapi saya lebih gembira kerana Umno tidak meletakkan calon. Namun, nampaknya (dalam PRK Port Dickson) saya kena berdepan dengan calon bebas,” katanya
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti tidak meletakkan calon pada PRK Port Dickson kerana pertandingan itu hanya memenuhi cita-cita politik pemimpin tertentu dan pengosongan kerusi itu tidak demokratik.
Setakat ini, seorang calon bebas menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi itu yang juga personaliti Twitter, Stevie Chan Keng Leong.
Difahamkan, Parti Rakyat Malaysia(PRM) mengumumkan hasrat untuk meletakkan calon dalam PRK berkenaan.
Presidennya, Mohd Hashim Saaludin berkata, pihaknya dalam keadaan bersiap sedia untuk meletakkan calon bagi menentang Anwar.