KUNAK, 22 Sept – Pasukan keselamatan tidak menemui sebarang jejak atau kesan kehadiran individu mencurigakan dan bersenjata di sebuah kampung di Pitas seperti didakwa.
Memetik laporan Berita Harian, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata pihaknya memandang serius laporan serta dakwaan itu dan sudah menghantar anggota bagi menjalankan pemeriksaan.
“Pasukan keselamatan sudah menjalankan siasatan dan mendapati tiada kesan atau jejak ditinggalkan (yang boleh dikaitkan dengan kehadiran kumpulan bersenjata),” katanya kepada media ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, di sini, semalam.
Pada 16 September lalu, polis menerima laporan daripada seorang penduduk di Kampung Salimpodon di Pitas yang mendakwa melihat beberapa lelaki memakai baju celoreng, bertopeng dan membawa senjata berhampiran rumahnya.
Bagaimanapun, siasatan dan pemantauan polis serta tentera sekitar kampung terbabit termasuk kawasan bakau berhampiran mendapati tiada sebarang tanpa mencurigakan.
Beberapa hari kemudian, seorang penduduk lain di Kampung Lambisan di Pitas membuat laporan isterinya mendakwa melihat dua lelaki berpakaian hitam dan bertopeng membawa senjata api panjang dan sebilah parang panjang di atas bukit, namun pasukan keselamatan tidak menemui sebarang jejak atau keadaan mencurigakan.
Mengulas lanjut, Hazani berkata, pihak ESSCOM akan terus memantau perkembangan semasa dan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan tiada kehadiran individu atau kumpulan bersenjata menyusup masuk ke negeri ini.
Dalam perkembangan lain, beliau mengalu-alukan cadangan kerajaan negeri untuk mendaftarkan semua bot pam tempatan bagi memudahkan pihak keselamatan membuat pemeriksaan, seterusnya menangani aktiviti jenayah di laut.
“Kita juga mencadangkan supaya bot pam ini menggunakan kod warna yang berbeza mengikut zon bagi mewakili setiap daerah di negeri ini,” katanya.