Home SemasaGlobal Pengganas menyamar sebagai anggota tentera serang perarakan, 24 orang maut

Pengganas menyamar sebagai anggota tentera serang perarakan, 24 orang maut

by M.Daim

TEHRAN, 22 Sept –  Seramai 24 orang dilaporkan maut sementara lebih 60 orang lagi cedera apabila  perarakan ketenteraan di Ahwaz Iran telah diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjata. Kejadian berlaku ketika tentera Iran sedang melakukan perarakan ulangtahun bersempena tamatnya Perang Iraq-Iran.

Agensi berita Iran, IRNA melaporkan angka korban adalah terdiri daripada anggota tentera dan penduduk awam yang menyaksikan perarakan tersebut.

Penyerang dilaporkan memakai pakaian seragam pasukan elit Islamic Revolution Guards Corps (IRGC) dan pasukan sukarelawan (Basiji) bertindak menembak ke arah orang kenamaan dan penonton perarakan. Tembakan dilepaskan semasa perarakan berlangsung dan menyebabkan anggota tentera yang terlibat dalam perarakan tergamam dan keliru apabila kedengaran beberapa das tembakan telah dilepaskan.

Dalam insiden tersebut, 2 orang penyerang telah ditembak mati manakala 1 orang lagi telah berjaya ditahan. Penyerang ke-4 pula dilaporkan maut ketika dikejarkan ke hospital. Perkara tersebut disahkan oleh jurucakap tentera Iran, Brigadier Jeneral Abolfazl Shekarch.

Serangan tersebut turut tersiar di kaca televisyen ketika siaran langsung perarakan tersebut sedang berjalan.

‘Serangan didalangi oleh kuasa luar’

Sementara itu, kumpulan pemisah Al-Ahwaz mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. Pihak Iran menyatakan kumpulan tersebut mempunyai kaitan dengan Arab Saudi.

Pengakuan tersebut disebarkan melalui media sosial di Iran.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif dalam akaun twitternya berkata, serangan itu dilakukan oleh kumpulan pengganas yang dilatih dan dibiayai oleh negara luar.

“Amerika Syarikat bertanggungjawab dalam serangan ini,” tegas Javad melalui akaun twitter rasminya.

Sementara itu, jurucakap Islamic Revolution Guards Corps (IRGC) Ramezan Sharif yang dipetik oleh IRNA berkata, serangan oleh kumpulan pengganas yang dibiayai oleh Arab Saudi cuba menimbulkan ketakutan kepada rakyat dan mencemari hari sambutan penting Tentera Iran.

Timbalan Komander IRGC, Rear Admiral Fadavi menyifatkan serangan tersebut adalah tidak ubah seperti tindakan Da’esh di Iraq.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!