Home Pertahanan dan Keselamatan 1,000 veteran ATM masih belum miliki rumah

1,000 veteran ATM masih belum miliki rumah

by Air Times News Network

KOTA BHARU, 22 Sept – Kira-kira 1,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih belum memiliki rumah sendiri walaupun telah lama bersara daripada perkhidmatan, kata Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Mohd Anwar berkata perkara itu berlaku berikutan anggota terbabit masih berpangkat rendah sehingga hari persaraan menyebabkan ia memberi kesan terhadap taraf pencen mereka.

“Apabila saya turun ke padang dan hadir di perwakilan tahunan negeri-negeri isu rumah inilah yang akan dibangkitkan anggota persatuan.

“Ia sekaligus menjadi permasalahan utama bagi persatuan untuk menjaga kebajikan veteran ATM,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PVATM Kelantan kali ke-50 di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Markas Briged Kelapan Infantri, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Persidangan yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Abd Karim Husin turut dihadiri Yang Dipertua PVATM Kelantan Datuk Muhammad Abdul Ghani dan Panglima Markas Briged Kelapan Infantri Brig Jen Muhammad Huzaimi Sabri.

Justeru, Mohd Anwar berkata persatuan itu perlu terus mendampingi Kerajaan Persekutuan bagi membincangkan formula terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut agar ia dapat memberi manfaat kepada veteran.

Katanya sebelum ini beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu untuk menyuarakan dan membincangkan isu terbabit dengan lebih mendalam.

“Saya mahu PVTAM melakukan pendekatan secara berhemah bagi menyelesaikan sesuatu isu dan permasalahan agar persatuan ini terus dipandang tinggi oleh semua pihak,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!