PETALING JAYA, 21 Sept – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada jentera kerajaan yang akan digunakan dalam kempennya ketika pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.
Beliau berkata ia merupakan satu perkara penting apabil mengambil kira kedudukan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai kerajaan persekutuan.
Beliau juga mengarahkan supaya tiada jentera kerajaan digunakan ketika kempen PRK berlangsung selama 14 hari.
“Pemimpin dan ahli mesti tunjukkan bahawa pilihan raya ini bukan perkara yang ringan. Kita akan kerja kuat.
“Selain itu, ada program diaturkan oleh kementerian Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) diadakan sebulan awal terpaksa dibatalkan.
Sebabnya, kita tak mahu dilihat guna kemudahan kerajaan.
“Saya tegaskan bahawa kita tidak mahu menggunakan kemudahan dan jentera kerajaan dalam PRK. Saya mahu mereka (pemimpin PH dalam Kabinet) sebagai pemimpin parti saja,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.
Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli selain Saifuddin.