YALA, 20 Sep – Serangan hendap yang dilakukan oleh individu yang tidak dikenali dan mengakibatkan seorang anggota polis maut manakala empat lagi rakannya cedera ditembak di wilayah bergolak, Yala, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Raman Lt Kol Pisit Lomkhampa, kejadian berlaku kira-kira jam5 petang (waktu tempatan) semalam di Jalan Tadung-Raman ketika kenderaan pacuan empat roda itu dinaiki oleh tujuh orang kesemuanya.
Dua penumpang kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketika pulang daripada berburu, mereka telah ditembak menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu terbabas ke dalam hutan di sebelah jalan raya. Mayat anggota polis itu ditemui di tempat duduk,” katanya kepada pemberita di sini.
Mangsa dikenali sebagai Somjit Chudam yang bertugas di wilayah Yala, kata beliau dan menambah, empat rakannya yang cedera dalam insiden tembakan itu telah dikejarkan ke Hospital Raman untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Pisit, kesemua mangsa sebelum itu pergi berburu di Kampung Manangjong di daerah Tung Yang Daeng, Pattani dan sedang dalam perjalanan pulang dengan membawa bangkai lima ekor babi hutan.
Polis masih meneruskan siasatan bagi mencari mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian serang hendap itu.
Konflik di wilayah bergolak selatan Thailand sejak 2004 telah mengorbankan kira-kira 6,500 orang, menurut kajian oleh badan bukan kerajaan Deep South Watch (DSW) yang memantau konflik itu.