TEBEDU, 19 Sept – Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged) mewakili Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Brigade Infanteri 24/Bulungan Cakti (BRIGIF 24/BC) mewakili Tentara Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) telah melaksanakan latihan ketenteraan bersama semenjak 9 September lalu.
Eksesais Keris Kartika Malindo (Kekar Malindo) melibatkan Batalion Kesepuluh Rejimen Renjer Diraja (10RRD) dan juga satu kompeni dari Batalyon Infanteri 614/Raja Pandhita (YONIF 614/RJP) yang terdiri seramai 53 Pegawai dan 111 anggota diketuai oleh Pegawai Memerintah 10RRD.
Selain melibatkan 10RRD, eksesais ini turut melibatkan 6 buah kenderaan dari Skuadron C Rejimen ke-4 Kor Armor Diraja (4 KAD) dan juga Artileri Bantuan Rapat dari Rejimen ke-3 Artileri Diraja (3RAD) yang menggunakan laluan Serian-Mongkos.
Latihan ini diadakan bagi untuk menguji tahap kesiagaan para anggota tentera yang terlibat. Selain daripada itu, Kekar Malindo turut mengujiĀ tahap keupayaan dan kesefahaman dalam berkongsi pendapat mengikut Doktrin Malaysia dan Indonesia dalam melaksanakan operasi bersama.
Eksesais ini juga merupakan latihan bagi menguji kebolehan aset dan logistik dalam membantu infantri di dalam sesuatu peperangan konvensional.
Latihan bersama ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya tanpa berlaku sebarang kecederaan yang serius.
Pasukan 10RRD seterusnya akan melakukan latihan serangan akhir pada awal pagi esok di kawasan sekitar Ladang Kelapa Sawit Serian.
Laporan asal oleh Lt Muhammad Khawarizmi Abdul Shukor dan diolah semula oleh Air Times News Network. Gambar oleh Pbt Hafizin