BUKIT KAYU HITAM, 17 Sept – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu (6 RAMD) mematahkan cubaan membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan penangkapan seorang lelaki tempatan berhampiran Pos 2 di sini, semalam.
Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan jam 6 pagi ketika menunggang motosikal jenis Honda EX5 ke sempadan untuk membawa masuk Pati yang dipercayai sedia menunggu di sempadan.
Katanya, suspek ditahan oleh sepasukan empat anggota diketuai Sarjan Mohd Rais Mohd Dorani ketika melakukan operasi Serang Tangkap apabila melihat pergerakan lelaki itu dalam keadaan mencurigakan.
“Suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan pasukan keselamatan dan soal siasat mendapati dia cuba membawa masuk Pati dari negara jiran melalui pagar sempadan.
“Pasukan keselamatan juga telah mengesahkan pernah menahan lelaki yang sama di lokasi yang sama tetapi berjaya meloloskan diri sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Suspek kemudian ditahan dan motosikalnya dirampas untuk siasatan.
Lelaki itu kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 5 Rejimen Sempadan (5 RS) untuk pemeriksaan kesihatan dan dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut. – Bernama