PENAMPANG, 16 Sept – Badan berkaitan keselamatan di negara ini perlu menyegerakan tindakan lebih proaktif bagi menjamin keselamatan di pantai timur Sabah, khususnya di perairan pantai timur negeri.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kes seperti penculikan baru-baru ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan rakyat tetapi juga dikhuatiri akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Insya-Allah, saya akan berbincang dengan pihak bertanggungjawab, termasuk Kementerian Dalam Negeri dan pihak berwajib supaya disegerakan tindakan yang lebih proaktif,” katanya pada majlis makan malam muafakat PKR sempena sambutan Hari Malaysia di sini malam tadi.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR, turut meminta anggota parti supaya mengukuhkan parti agar usaha membangunkan dan mensejahterakan rakyat di Sabah dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Semua ini (usaha membangunkan dan mensejahterakan rakyat di Sabah) akan hanya berjaya jika parti (PKR) mempunyai kepimpinan yang kuat,” katanya. – BERNAMA