SEREMBAN, 16 Sept – Datuk Seri Mah Siew Keong hari ini mengumumkan secara rasmi perletakan jawatannya sebagai presiden Gerakan.
Siew Keong berkata, ini adalah susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas yang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen berbanding satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13.
“Tiga atau empat bulan lepas saya mendapat banyak rayuan daripada anggota parti supaya terus kekal sebagai presiden, namun saya sebagai kapten telah berjanji jika keputusan parti lebih teruk dari dahulu, maka saya akan letak jawatan.
“Saya ucap terima kasih pada semua (anggota parti) dan hari ini secara rasmi saya tidak akan teruskan (memegang jawatan) sebagai presiden,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan ke-43 di Wisma Gerakan di sini.
Ini adalah program terakhir beliau selaku presiden parti.
Pada PRU14, Gerakan kalah kesemua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.
Gerakan yang telah menjadi parti bebas selepas mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 23 Jun lepas, akan memiliki presiden baharu selepas ini.
“Kita akan ada pemimpin baharu. Saya telah mengetuai parti Gerakan dan mesti ambil tanggungjawab walaupun ramai yang kata ini bukan salah kita, tetapi sebagai presiden mesti ambil tanggungjawab,” katanya.
Siew Keong berkata Gerakan yang kini dalam proses pemilihan parti perlu mengekalkan pemimpin lama dan digabungkan sekali dengan yang baharu bagi memastikan ia dapat dibangunkan semula.
“Sesuatu parti, kita tak boleh (letakkan semua pemimpin) yang baharu, sesetengah daripadanya perlu kekal hingga kita bangun semula tetapi presiden tak boleh,” katanya.-BERNAMA