Home Semasa Ke Pantai Timur – ECRL atau lebuh raya?

Ke Pantai Timur – ECRL atau lebuh raya?

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Status Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menelan kos RM55 bilion seperti diumum kerajaan Barisan Nasional lepas masih samar apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan untuk mengkaji semula pelaksanaannya.

Ada yang berpendapat projek sepanjang 688km merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan bertujuan mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan penggunaan rel berbanding kereta atau kapal terbang tidak tidak lebih selain disifat bermusim.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata pengguna lebih ‘gembira’ seandainya lebuh raya dan jalan raya sedia ada di pantai timur dinaik taraf bagi keselesaan pengguna.

Ramai pengguna laluan itu masih selesa menggunakan kenderaan sendiri walaupun terpaksa menghadapi kesesakan berbelas jam di jalan raya ketika musim perayaan.

Seorang jurutera, Nik Benjamin Nik Alias, 30, berkata dia tidak nampak bagaimana ECRL atau projek kereta api seumpamanya akan membantu mengurangkan kesesakan jalan sewaktu musim perayaaan kerana mereka masih perlu menggunakan kereta sebaik tiba di destinasi tujuan.

“Lagipun, lebih baik ditumpukan pembinaan lebuh raya terbengkalai atau menaik taraf jalan raya sedia ada kerana yang hendak menggunakan kemudahan ini adalah penduduk setempat setiap hari, bukan masa musim perayaan sahaja,” katanya.

Ini selari dengan kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir iaitu kerajaan akan memberi keutamaan kepada pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) berbanding projek mega lain untuk kemudahan penduduk di Terengganu dan Kelantan.

Sebarang keputusan untuk melaksanakan projek lebuh raya sepanjang 147km dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan itu, bagaimanapun perlu mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan.

Pelaksanaan ini juga secara tidak langsung akan meneruskan usaha bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu membina Lebuh Raya Kota Baharu-Kuala Krai atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya Rakyat sepanjang 73km selepas tertangguh lebih dua dekad.

Seorang peniaga, Siti Nor Afzan Kasiman berkata adalah lebih praktikal menggunakan kenderaan sendiri berbanding kereta api memandangkan dia mempunyai anak kecil dan kecenderungan untuk berhenti di mana-mana sangat tinggi.

“Lagipun, jika dikira kos perjalanan, ia lebih berbaloi menggunakan kenderaan sendiri walaupun kini Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sudah mengenakan tol,” katanya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pelaksanaan projek Central Spine Road (CSR) Bentong Bypass sepanjang 28.5 kilometer dengan kos RM578.25 juta dimulakan pada 2017 dijangka siap sepenuhnya menjelang 2019.

Pada masa sama laluan asal ke pantai timur itu dinaik taraf bermula dari Kuala Krai ke Simpang Pelangai, Bentong, Pahang sepanjang 350km dibahagikan pula kepada enam pakej utama iaitu Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan (47km), Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang (59km), Gua Musang ke Kampung Relong, Kuala Lipis, Pahang (92.5km), Kampung Relong ke Raub (50km), Raub ke Bentong (54km) dan Bentong ke Simpang Pelangai, Pahang (47.5km).

Lebuh Raya Bentong-Raub sepanjang 54 km yang dijangka siap tahun hadapan juga mampu bertindak sebagai laluan alternatif untuk pengguna jalan raya yang mahu ke Raub dan destinasi lain di Pantai Timur.

Pun begitu, Siti Nor Afzan tidak menolak penggunaan kereta api mampu menjadi pilihan ketiga selepas kapal terbang bagi penduduk pantai timur, terutama pada musim perayaan memandangkan ia boleh memendekkan waktu perjalanan serta mengurangkan kesesakan di jalan raya.

Sementara itu Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata kos ECRL juga terlalu tinggi dan tidak praktikal dilaksanakan dalam keadaan ekonomi negara yang masih tidak stabil ketika ini.

“Pada pendapat saya, adalah lebih baik sekiranya bajet itu digunakan untuk menaik taraf semua kemudahan dan kualiti jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur serta jalan pantai pula dinaik taraf menjadi empat lorong agar pengguna lebih selesa.

“Pertumbuhan ekonomi juga pasti bertambah rancak sekiranya jalan pantai dari Terengganu hingga ke Kelantan dinaik taraf, malah kos pembinaannya juga jauh lebih murah berbanding kos pembinaan ECRL,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang juga Adun Kijal berkata tambang yang akan dikenakan kepada pengguna ECRL dijangka lebih tinggi berbanding tambang kapal terbang.

“Adakah orang Pantai Timur berkemampuan untuk membayar harga tiket ECRL yang harganya mencecah beratus ringgit? Mungkin pada awal pelancarannya, ramai naik untuk merasai sendiri pengalaman keretapi laju tetapi selepas itu, mesti mereka lebih selesa guna kereta atau menaiki kapal terbang dengan tambang murah,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!