LONDON, 15 Sep – Peguam Jho Low, 36, menghantar surat ugutan kepada kedai buku di seluruh dunia dalam cubaan untuk menyekat pengedaran sebuah buku baru mengenai pembabitannya dalam satu skandal kewangan merentas sempadan.
Buku berjudul Billion Dollar Whale oleh wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope dan Tom Wright itu menceritakan bagaimana Low dituduh kerajaan Amerika Syarikat (AS), menjadi dalang di sebalik kehilangan berbilion dolar dana pelaburan kerajaan Malaysia (IMDB) yang disimpan di akaun bank di Switzerland, Singapura dan Kepulauan Virgin.
Pejuang hak kebebasan bersuara berkata, keputusan untuk mengancam pengedar buku dan bukan penerbit atau penulis boleh dilihat sebagai percubaan untuk ‘memintas proses undang-undang’.
Low yang masih tidak dapat dikesan hingga kini turut berdepan tuduhan melakukan pengubahan wang haram di Malaysia dan tersenarai dalam notis merah Interpol.
Beliau bertegas tidak pernah melanggar sebarang undang-undang, tidak bersalah atas sebarang tuduhan penipuan dan tidak disiasat.
Menurut peguamnya, semua dakwaan di dalam buku berkenaan adalah fitnah dan tidak benar.