SUBANG, 14 Sept – Tentera Udara Diraja Malaysia telah melaksanakan penerbangan ihsan pada pagi semalam. Penerbangan tersebut membawa seorang remaja yang menghidapi penyakit kegagalan hati dari Pangkalan Udara TUDM Kuching ke Pangkalan Udara TUDM Subang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak TUDM semalam, Choo Mei Na, 18 tahun, telah selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 12 tengah hari semalam sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang dengan menggunakan ambulans. Beliau turut ditemani oleh ayahnya, Choo Teck Koing, dan doktor dari Hospital Umum Sarawak, Dr Loh Yoon Doong.
Misi penerbangan yang memakan masa 3 jam itu dikendalikan oleh No. 1 Skuadron, Pangkalan Udara Kuching dengan menggunakan pesawat CN235. Dalam misi ini, Mejar Muhamed Afizan bin Jaafar TUDM bertindak sebagai juruterbang dan Kapten Meor Ahmad Ali bin Meor Abdul Wahab selaku pembantu juruterbang berserta 4 orang kru dari No 1 Skuadron, Kuching.
Dalam kenyataan yang sama, pihak TUDM menyuarakan komitmen mereka dalam memenuhi keperluan kebajikan masyarakat dengan penuh komitmen. Pihak TUDM turut mendoakan Choo Mei Na kembali sembuh sediakala.