Home PolitikPakatan Harapan Danyal yakin nasib pesara tentera tetap terbela

Danyal yakin nasib pesara tentera tetap terbela

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Datuk Danyal Balagopal Abdullah tampil mempertahankan keputusannya meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen Port Dickson dan menafikan ia dibuat tanpa mempertimbangkan kebajikan pesara tentera.

Menurut laporan Malaysiakini, bekas Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia itu berkata demikian sebagai menafikan dakwaan Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) bahawa pengosongan kerusi Port Dickson sebagai tidak mempedulikan veteran tentera dan tidak menghargai pegawai bersara.

“Saya ingin nyatakan dengan jelas bahawa saya sudah mempertimbangkan kebajikan tentera sebelum membuat keputusan meletakkan jawatan.

“Seperti disahkan bakal perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya akan masih berkhidmat untuk Bandar Tentera Darat Port Dickson, malah dengan lebih baik kerana mengetahui bakal perdana menteri adalah anggota parlimennya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Presiden PATRIOT, Mohamed Arshad Raji menggesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertanding di Port Dickson kerana penyandang kerusi berkenaan adalah bekas pegawai tentera yang perlu perlu mengutarakan isu kebajikan anggota dan pesara tentera di Dewan Rakyat.

Mohamed Arshad turut mendakwa pengosongan kerusi Port Dickson boleh mengundang protes pesara tentera terhadap Anwar.

Mengulas dakwaan itu, Danyal berkata, ia adalah dakwaan tidak berasas.

“Sebaliknya, angin perubahan di Malaysia selepas 9 Mei 2018, dengan bakal perdana menteri sebagai calon dan kehadiran saya untuk berkhidmat buat rakyat di Port Dickson akan terus menarik sokongan pesara tentera untuk menyokong kerajaan Pakatan Harapan.

“Saya harap semua pihak akan menerima peletakan jawatan saya seadanya dan tidak membuat spekulasi yang prejudis,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Danyal turut menyorot bahawa pesara tentera tidak hanya diwakili oleh PATRIOT tapi juga organisasi lain seperti Kelab Pesara Pegawai Tentera (RAFOC), Persatuan Pesara Pegawai Tentera Laut Malaysia (RMNOA), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia PVTUDM.

“Saya boleh sahkan bahawa tidak semua organisasi pesara tentara ini sependapat dengan PATRIOT.

“Anggota Parlimen Padang Serai, Karupaya dan senator Imran Abd Hamid merupakan pesara tentera yang pernag berkhidmat.

“Saya tahu kedua-dua anggota parlimen ini sering membangkitkan isu berkaitan kebajikan tentera dan pesara tentera dan saya percaya mereka akan terus melakukan hal itu.”

“Jadi adalah tidak tepat untuk mengatakan pesara tentera tidak diwakili di parlimen,” katanya.

Semalam, Danyal mengumumkan mengosongkan kerusi Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pilihan raya kecil dan seterusnya ke parlimen.

Danyal memenangi kerusi Port Dickson dengan majoriti 17,710 undi pada pilihan raya umum ke-14 dengan memperoleh 36,225 undi berbanding 18,515 undi (BN) dan 6,594 undi (PAS).

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!