Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Cukup- cukuplah salahkan kami, BN

Cukup- cukuplah salahkan kami, BN

by Nurulhuda

KUALA TERENGGANU, 14 Sept – Muslimat Pas menasihati kerajaan PH agar cukup-cukuplah menyalahkan pihak lain dalam kegagalan mereka menunaikan janji manifesto dalam tempoh 100 hari.

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, trend yang berlaku sekarang, kerajaan PH sering meletakkan kegagalan itu atas pihak lain dengan alasan manifesto bukanlah kitab suci yang mengikat mereka patuh pada janji-janji mereka sendiri.

Menurutnya, isu-isu kewanitaan dan kekeluargaan terutama berkait dengan agama Islam sedang digembar gemburkan dengan polemik politik seolah-olah untuk menjana persepsi buruk terhadap Pas dan pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Isu perkahwinan bawah umur tanpa merujuk ijtihad dan kesepakatan ulama muktabar, penderaan anak-anak di pusat asuhan, perjalanan segelintir maahad tahfiz, tuntutan feminisme dan LGBT sudah mula dimomokkan di media arus perdana dan media sosial.

“Segala gejala kemelut yang berlaku ini seolah-olah hendak diletakkan kesalahan kepada Pas dan kerajaan terdahulu,” katanya dalam ucaptama Muktamar Tahunan Muslimat Pas Pusat di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam hari ini.

Nuridah berkata, kerajaan PH harus hentikan sikap salahkan orang lain kerana rakyat mengharapkan mereka fokus berusaha memperbaiki dan menjaga kemaslahatan rakyat terutama golongan yang terpinggir dan tertindas.

Menurut Nuridah, Muslimat Pas perlu bersedia membuat anjakan paradigma terhadap suasana politik pasca PRU-14 dengan terbentuknya kerajaan baharu di Putrajaya.

Katanya, kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat agak kurang mendapat sokongan majoriti umat Melayu Islam tradisional yang menjadi akar umbi majoriti rakyat.

“Kerajaan PH juga dilihat tersepit dengan kebangkitan dan tuntutan yang kadangkala seolah-olah ingin merubah janji setia pejuang kemerdekaan terdahulu daripada pimpinan bukan Islam mereka sendiri.

“Suara-suara pemuka bukan Islam dengan majoriti ahli-ahli Parlimen bukan Islam lebih 60 orang semakin tambah mendesak tanpa segan silu.

“Ahli parlimen muslim mereka seramai 58 orang pula tidak sekata dan berpolitik untuk kekal berkuasa dengan sikap dan pandangan yang dilihat umum mesra dan menyebelahi tuntutan tersebut,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!