Home SemasaGlobal Wartawan di penjara 7 tahun, langgar Akta Rahsia Rasmi

Wartawan di penjara 7 tahun, langgar Akta Rahsia Rasmi

by Noor Sheila Amin

HANOI, 13 Sep – Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, hari ini memaklumkan dua wartawan Reuters didapati bersalah oleh mahkamah dan dipenjara kerana melanggar undang-undang.

Wa Lone, 32 dan Kyaw Soe Oo, 28, dipenjara bukan kerana membuat laporan mengenai pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Rakhine tetapi mereka telah melanggar Akta Rahsia Rasmi ketika melaporkan mengenai pembunuhan yang berlaku selepas tentera melancarkan operasi di Rakhine.

Operasi tentera pada Ogos lalu menyebabkan 700,000 etnik Rohingya memasuki Bangladesh dan menceritakan bagaimana polis dan askar Myanmar merogol, membunuh dan membakar.

Kedua mereka dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun minggu lalu.

Dua wartawan terbabit menolak tuduhan ke atas mereka dan menegaskan mereka diperangkap ketika mendedahkan pembunuhan 10 Muslim Rohingya di kampung Inn Din, September tahun lalu.

Hukuman ke atas mereka mencetuskan bantahan dunia yang menganggapnya satu serangan terhadap kebebasan media manakala Suu Kyi menghadapi tekanan kerana gagal mempertahankan wartawan berkenaan.

Dia akhirnya memberi pandangan mengenai isu itu ketika perbincangan di Forum Ekonomi Dunia dengan mempertahankan keputusan mahkamah mengenakan hukuman penjara ke atas wartawan itu.

“Mereka tidak dipenjara kerana mereka wartawan tetapi kerana mahkamah memutuskan mereka melanggar Akta Rahsia Rasmi,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!