KOTA SAMARAHAN, 12 Sept – Eksesais Keris Kartika Malaysia & Indonesia (Kekar MALINDO) berupaya memperkukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan angkatan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD).
Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen), Mejar Jeneral Toh Choong Siang berkata, langkah tersebut akan menghasilkan penambahbaikan dan transformasi dalam mengatur gerak operasi sebagai satu ketumbukan serantau.
Menurut beliau, platform itu juga dapat menguji doktrin prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan antara kedua-dua ketumbukan.
“Tiga objektif utama ditetapkan adalah bagi menguji fungsi pemerintah dan pegawai staf diperingkat batalion infantri serta pasukan bantuan dalam operasi gabungan berpandukan Protap MALINDO.
“Selain itu, meningkatkan keupayaan kedua-dua pihak bagi melaksanakan operasi dalam konteks peperangan konvensional di samping tingkat tahap kerjasama termasuk hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pembukaan Eksesais Kekar MALINDO Siri 42AB/2018 di Padang Kawad Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kem Muara Tuang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Panglima Kodam IV/Mulawaran, Mejar Jeneral TNI Subiyanto; Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Yonny Tri Prayitno; Panglima Briged Ketiga Infantri, Brigedier Jeneral Mohd. Bustaman Mat Zin dan Komandan Briged Infantri 24 Bulungan Cakti, Kolonel Infantri Jones Sasmita Muliawan.
Seramai 350 anggota Batalion Ke-10 RRD bersama 100 anggota TNI-AD dan 100 anggota Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) terlibat dalam eksesais itu.
Eksesais itu diadakan selama 14 hari bermula 9 September lalu merupakan salah satu aktiviti bilateral secara timbal balas setiap tahun sejak 1976.
Mengulas lanjut, beliau berkata, persefahaman juga menjadi lebih mudah antara kedua belah pihak kerana telah mengenali satu sama lain bagi menangani apa jua cabaran semasa dan mendatang.
“Marilah kita sama-sama menunjukkan bahawa TDM dan TNI-AD adalah sebuah ketumbukan yang teguh serta tidak boleh diganggu keakrabannya,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai keselamatan sempadan negara di sini, beliau memberitahu, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan meningkat kerjasama dengan pihak TNI-AD melalui pos gabungan dalam membanteras jenayah rentas sempadan. – Utusan Online