TEMERLOH, 11 Sept – Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) parah selepas motosikal ditungganginya terlanggar belakang sebuah kereta di Kilometer 96.2, Lebuhraya Pantai Timur, Lanchang, di sini, petang tadi.
Menurut laporan Berita Harian, ketika nahas jam 2.30 petang itu, mangsa Afiq Baharuddin, 26, dikatakan menunggang motosikal secara berseorangan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang bertugas di Markas Tentera Udara, Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan, melanggar bahagian belakang PROTON Wira yang diletakkan di lorong kecemasan.
“Kereta ini diletakkan di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan dan pemandu kenderaan turut menghidupkan lampu kecemasan sebelum keluar untuk membuka bonet hadapan kereta.
“Mangsa yang menunggang di lorong kecemasan dipercayai tidak menyedari kereta itu diletakkan di kawasan berkenaan sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Kamarulzaman berkata, berikutan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) bagi menerima rawatan selepas mengalami pendarahan teruk pada kepala.
Katanya, pemandu kereta tidak cedera dan sudah membuat laporan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Berita Harian