KOTA BHARU, 7 Sept – Satu kerusi Parlimen akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, langkah tersebut merupakan persiapan parti itu untuk menyiapkan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan kerusi mana yang akan dikosongkan dan meminta semua pihak menunggu sehingga pengumuman lanjut dibuat.
“Langkah pertama untuk menjadikan Anwar sebagai Presiden parti sudah selesai dan langkah kedua pula adalah untuk menjadikan Anwar sebagai anggota Parlimen.
“Minggu depan akan ada kerusi Parlimen yang akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding. Setakat ini ada tiga Ahli Parlimen yang menawarkan tempat mereka iaitu Sungai Petani Selayang dan Sungai Siput,” katanya.
Beliau yang merupakan calon Timbalan Presiden PKR berkata demikian pada ceramah Reformasi 2.0 di Bandar Baharu Tunjong di sini, malam ini.
Ceramah tersebut turut dihadiri beberapa calon pimpinan parti tersebut seperti Datuk Johari Abdul, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Roziah Ismail.
Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, anggota PKR tersebut perlu berhati-hati dalam membuat keputusan supaya kepemimpinan parti itu tidak jatuh ke tangan orang yang salah.
“Agenda kita ialah memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri Kelapan sebab kita tahu rekod parti sebelum ini walaupun sudah dipersetujui di depan tetapi di belakang ada keputusan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE