Home Pertahanan dan Keselamatan Pelbagai inisiatif pendidikan anak anggota ATM dimantapkan – Mat Sabu

Pelbagai inisiatif pendidikan anak anggota ATM dimantapkan – Mat Sabu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Sept – “Beberapa inisiatif akan diteruskan bagi memastikan pendidikan anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diperteguhkan dan dimantapkan,” kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain memberi inisiatif kepada anak-anak cemerlang, ATM telah mewujudkan satu program kelas abad ke-21 di sekolah-sekolah dalam kem ATM sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata program berkenaan sedang diusahakan di lima buah sekolah dalam kem ATM.

“Sekolah ini bakal menyediakan kemudahan pembelajaran maya dan meningkatkan keupayaan anak-anak ATM untuk mengakses pelbagai maklumat pembelajaran yang bersesuaian,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM Ke – 28 bagi tahun 2018 di sini, hari ini.

Lima sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn, Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim (Johor), Sekolah Kebangsaan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Sekolah Kebangsaan Batu 10 Kuantan dan Sekolah Kebangsaan Kementah.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyampaikan insentif Kecemerlangan Pendidikan kepada anak anggota ATM – Foto FB Kementrerian Pertahanan

Pada majlis berkenaan seramai 218 anak-anak anggota ATM yang terdiri daripada pelajar cemerlang peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Awam menerima pengiktirafan masing-masing.

Turut hadir di majlis itu ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Mohamad Sabu berkata pengiktirafan berkenaan bertujuan menyuntik semangat dan meningkatkan motivasi anak-anak anggota ATM untuk terus berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kejayaan yang cemerlang.

Anugerah berkenaan, katanya, merupakan pengiktirafan bagi anak-anak tentera dalam bidang akademik oleh ATM melalui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sementara itu, penerima anugerah yang mendapat keputusan 11 A dalam SPM Mohammad Amerul Haziq Noor Azlizam berkata beliau berharap pengiktirafan yang diterima dapat dijadikan contoh buat dua adiknya.

“Saya harap terus dapat mencipta kejayaan di peringkat seterusnya kerana saya merupakan harapan keluarga,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!