Home Pertahanan dan Keselamatan Kumpulan pertama MALBATT 850-6 berlepas ke Lubnan

Kumpulan pertama MALBATT 850-6 berlepas ke Lubnan

by Air Times News Network

SUBANG, 6 Sept – Kumpulan pertama yang terdiri daripada seramai 215 anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6) telah berlepas ke Lubnan bagi melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) pada hari ini.

Majlis pemakaian beret PBB, penyerahan bendera Malaysia dan penghantaran kumpulan itu telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Pangkalan Udara TUDM Subang.

Kumpulan pertama yang diketuai Kolonel Azhan Md. Othman itu disertai oleh 50 pegawai dan 165 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta dua anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Manakala kumpulan kedua hingga keempat MALBATT 850-6 dijadualkan akan berlepas secara berperingkat pada 13, 20 dan 27 September ini.

MALBATT 850-6 ditugaskan untuk menggantikan MALBATT 850-5 akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin.

 ‘Kebajikan Anggota dan Keluarga Terjaga’

Mohamad dalam ucapannya berkata, “Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh anggota keluarga MALBATT 850-6 yang telah memberi restu dan membenarkan suami, isteri, anak, abang atau adik untuk melaksanakan misi di luar negara.

“Markas Angkatan Bersama sebagai markas yang bertanggungjawab dalam mengawal operasi luar negara akan sentiasa memastikan  kebajikan  yang melibatkan anggota keluarga MALBATT 850-6 diberi penumpuan sewajarnya agar para anggota MALBATT 850-6 dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap pelaksanaan misi.”

Beliau yakin anggota yang berlepas ke Lubnan mampu untuk menggalas tanggungjawab sebagai anggota pengaman di Lubnan. Ini terutamanya dengan pelaksanaan latihan integrasi selama tiga bulan di MALBATT Village, Port Dickson semenjak Jun lalu.

Nama Malaysia Harum Dimata Dunia

“Sesungguhnya penglibatan ATM ini dalam  melaksanakan misi di bawah panji-panji PBB, di Lubnan adalah merupakan pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang berterusan terhadap kredibiliti, kewibawaan dan profesionalisme ATM”.

“Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seluruh anggota MALBATT 850-6 untuk memastikan pengiktirafan ini terus terpelihara demi memartabatkan lagi maruah negara dan ATM di persada antarabangsa.”

“Penglibatan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa  Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan” katanya.

Turut hadir ke majlis ini Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd Manaf, Panglima Tentera Darat,  Jeneral Dato’ Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Syed Zahi­ruddin Putra Syed Osman.

Duta Besar Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Alaihuddin dan Penasihat Pertahanan turut hadir ke majlis ini bagi mewakili kerajaan Brunei.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!