SHAH ALAM, 4 Sept – Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu, mengingatkan semua parti di dalam gabungan PH supaya tidak berbalah hingga bercerai-berai.
Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, faktor utama kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang menjatuhkan Barisan Nasional (BN) adalah disebabkan penggabungan antara PKR, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Katanya, setiap parti pasti berbeza pandangan serta pendapat tetapi perkara itu tidak seharusnya menjadi punca ‘perceraian’ antara mereka.
“Kalau tambah parti lain, tidak mengapa tetapi jangan (berbeza pendapat) hingga kita semua bercerai.
“PAS pun tahu gabungan ini penting sebab itu sekarang mereka bergabung dengan UMNO.
“Sekarang sudah tidak timbul isu sembelih dan nikah. Mana 355 (Rang Undang-undang 355)? Timbul pula lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),” katanya ketika berucap di Ceramah Pilihan Raya Calon PH, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Wilayah, Khalid Samad.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata semua barisan Kabinet perlu telus dalam tanggungjawab diberikan.
Katanya, kerajaan masa kini melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) daripada wakil pembangkang dan menganggap langkah itu sebagai satu perubahan besar.
“Jika kami tidak betul, pembangkang yang akan dedahkan,” katanya.