Home Pertahanan dan Keselamatan LIMA ’19 dijangka tarik sekurang-kurang 600 pempamer

LIMA ’19 dijangka tarik sekurang-kurang 600 pempamer

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) yang akan berlangsung di Langkawi pada 26 hingga 30 Mac tahun depan, dijangka menarik sekurang-kurang 600 syarikat pempamer membabitkan 14 negara.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata pihaknya menyasarkan 60 peratus penyertaan membabitkan pemain industri pertahanan, manakala selebihnya daripada kalangan syarikat komersial.

‘LIMA ’19 akan tarik lebih ramai pengunjung’

“Sebanyak 555 pempamer dan 371 delegasi dari 49 negara telah menyertai LIMA ‘17 yang turut menarik kehadiran 40,000 pelawat perniagaan serta 200,000 pengunjung awam.

“Kita berharap LIMA ‘19 akan menarik lebih ramai pengunjung dan pempamer bersama teknologi serta aset terbaharu yang dapat dimanfaatkan untuk pertahanan maritim dan aeroangkasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran LIMA ‘19 di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; dan Pengerusi EN Projects (M) Sdn Bhd, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Mohamad berkata, LIMA ‘19 memberi peluang kepada kerajaan untuk menjadikan pameran itu rujukan kemampuan pertahanan negara.

“Melalui pameran itu, kita dapat mengukur sejauh mana pembangunan dan pemodenan sistem ketenteraan negara, termasuk keperluan pertahanan ruang angkasa serta maritim.

“Kuasa udara serta maritim menjadi keutamaan pertahanan kita dan LIMA sebagai hab pertahanan adalah paling sesuai untuk kita mencari cara terbaik ke arah itu,” katanya.

60% ruang lantai sudah ditempah

Sementara itu, EN Projects selaku penganjur LIMA ‘19 turut menyasarkan lebih 100 pesawat dan 30 aset maritim menyertai pameran kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Sabri Adam, berkata lebih 60 peratus ruang lantai pameran sudah ditempah pemain industri dari dalam serta luar negara dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang bulan depan.

“Penganjur turut mengambil beberapa pendekatan baharu untuk memperkukuh daya efektif LIMA dan pada masa sama, memperbaiki inisiatif sedia ada bagi menarik lebih banyak penyertaan,” katanya.

Maklumat Umum LIMA

Pameran LIMA’19 merupakan pameran edisi ke-15 sejak ia mula diadakan pada tahun 1991. LIMA merupakan pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di Asia Pasifik .

Pameran ini merupakan satu agenda strategik bagi memperlihatkan penglibatan Malaysia secara serius dalam pembangunan industri maritim, aeroangkasa, pertahanan, keselamatan dan kemorsil tempatan dan serantau.

Seperti siri sebelumnya, pameran LIMA ’19 akan diadakan di dua lokasi pameran iaitu Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) yang merupakan tapak pameran utama, pertunjukan udara dan pameran statik udara.

Resorts World Langkawi pula menjadi tapak pameran kapal perang (fleet review), demonstrasi maritim dan pameran statik maritim.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!