PUTRAJAYA, 3 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berasa amat terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini yang melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.
Menurut satu kenyataan, SPRM menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya daripada SPRM.
Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Hadhariah Syed Ismail, membuat keputusan itu setelah pihak pendakwaan bersetuju menarik semula semua pertuduhan terhadap mereka.
Beliau berkata, kedua-dua mereka dibebaskan dengan segera tanpa perlu dipanggil semula pada masa akan datang.
Pada 6 Julai lalu, kedua-dua mereka telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.
KENYATAAN MEDIA SPRM
SPRM AMAT TERKEJUT KEPUTUSAN MAHKAMAH, PIHAK PENDAKWAAN KES LIM GUAN ENG pic.twitter.com/AD76WCAQbW
— SPRM (@SPRMMalaysia) September 3, 2018