Home SemasaGlobal Duterte mohon maaf gelar Obama ‘anak haram’

Duterte mohon maaf gelar Obama ‘anak haram’

by Air Times News Network

BAITULMAQDIS, 3 Sept – Pemimpin Filipina, Rodrigo Duterte, memohon maaf kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, kerana menggelarnya ‘anak haram’ yang memburukkan hubungan di antara Manila dan Washington pada 2016.

Duterte mengeluarkan ungkapan menghina itu selepas Washington berkali-kali mengkritik Manila kerana melancarkan kempen menghapuskan ancaman dadah secara kekerasan.

“Adalah sesuai juga untuk berkata pada masa ini iaitu Obama, anda kini seorang awam dan saya meminta maaf kerana mengeluarkan kata-kata itu,” kata Duterte dalam ucapannya kepada warga Filipina di Israel.

“Jika seseorang itu sedia memaafkan, tentunya dia akan memaafkan. Saya juga telah memaafkan anda, seperti juga teman wanita saya ketika saya bujang. Saya telah memaafkan mereka juga,” kata Duterte lagi.

Ketika ini hubungan dengan Amerika semakin baik, kata Duterte, sejak Donald Trump menjadi Presiden yang disifatkan pemimpin Filipina itu sebagai ‘seorang rakan rapat yang bercakap seperti saya.’

Duterte tiba di Israel semalam untuk melakukan lawatan empat hari ketika Filipina mencari sumber pembekal senjata api tentera baharu selain mahu membincangkan kebajikan pekerjanya di negara itu.

Bukan Amerika sahaja yang mengecam Duterte dalam perkara itu tetapi juga banyak negara lain kerana suka memaki hamun pihak yang mengkritiknya sejak memegang jawatan pertengahan 2016.

Beliau turut menggelar Pope Francis dan Duta Amerika ke Manila ketika ini sebagai ‘anak haram’ selain mencaci Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malah, ketika memberi ucapan di Filipina, Duterte menunjukkan isyarat lucah ketika membidas Parlimen Eropah.

Kempen anti dadah Duterte menyaksikan polis membunuh 4,410 orang yang dituduh pengedar atau penagih dadah. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!