Baginda bertitah, pada masa sama, terdapat juga pihak-pihak tertentu yang tidak menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara.

“Beta bimbang kerana jika ini berterusan, mungkin akan menimbulkan ketegangan dan perselisihan faham dalam kala­ngan rakyat.

“Akhirnya keharmonian dan perpaduan yang kita bina selama ini akan terjejas,” titah baginda semasa berangkat menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2018 Peringkat Negeri di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, semalam.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Tuanku Syed Sirajuddin sete­rusnya bertitah, rakyat perlu sedar dan faham tentang fakta sejarah terutamanya kontrak sosial yang telah dipersetujui melalui proses muafakat dalam kalangan kaum utama di Tanah Melayu.

“Melalui persetujuan itulah kita dapat mencapai kemerdekaan hari ini. Semoga keharmonian dan kemakmuran yang kita bina ini akan terus kekal untuk diwarisi generasi akan datang,” titah baginda.

Baginda seterusnya mengi­ngatkan bahawa negara kini berhadapan cabaran yang besar apabila tarikh kemerdekaan semakin jauh daripada rakyat masa ini.

Titah baginda, perkara itu te­lah menyebabkan semangat dan penghayatan kemerdekaan rak­yat semakin terhakis.

“Oleh itu, semangat ini perlu sentiasa disuburkan melalui cara mengibarkan Jalur Gemilang. Walaupun nampak mudah, ia merupakan tanda kasih dan cinta kepada tanah air,” titah baginda.