Home Semasa Penyelewengan dana PRU-14: Seorang Datuk, 6 pegawai dibebaskan

Penyelewengan dana PRU-14: Seorang Datuk, 6 pegawai dibebaskan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Timbalan ketua pengarah bergelar Datuk serta enam pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dibebaskan hari ini selepas direman bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membabitkan jutaan ringgit.

Majistret Azizah Ahmad membenarkan tujuh individu terbabit dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), masing-masing dengan seorang penjamin.

Semua individu terbabit menjawat Gred 44 hingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B dan berkhidmat di bahagian
penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Terdahulu, semua individu itu dibawa ke Mahkamah Majistret pada 9.15 pagi dan mereka dilihat memakai pakaian biasa.

Pada 27 Ogos lalu, semua individu berusia antara 34 hingga 49 tahun itu ditahan di Kompleks B, JPM dan Ibu Pejabat SPRM seterusnya direman lima hari bermula 28 Ogos.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

Difahamkan, timbalan ketua pengarah bergelar Datuk itu adalah timbalan kepada bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Sebelum ini, Hasanah dikaitkan dengan dakwaan menghantar surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA).

Menerusi surat berkenaan, MEIO yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan JPM didakwa meminta Amerika Syarikat (AS) terus menyokong pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika Barisan Nasional (BN) menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam PRU-14.

Sebelum ini, seramai 15 pengawal keselamatan di JPM ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana PRU-14 berjumlah RM3.5 juta.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 12 Ogos lalu.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!