KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Kementerian Pertahanan akan meneruskan program satu anggota satu rumah (SASaR) yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada April lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, program itu membolehkan anggota dan kakitangan kementerian memiliki rumah sendiri sebelum mereka menamatkan perkhidmatan.
“Projek Sasar di Sungai Besi masih dikaji semula sebab pembatalan oleh Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jadi kementerian akan teruskan projek ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Hanafi Mamat dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Hanafi bertanyakan mengenai sama ada kementerian di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan program Sasar.
Pada 11 April lalu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyempurnakan pelancaran projek pembinaan Sasar di Kem Transmitter, Sungai Besi , di sini.
Terdahulu, Chin Tong memberitahu, kementerian akan cuba sedaya upaya untuk menempatkan kesemua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dalam kem.
Jelas beliau, di bawah pemerintahan BN, sebanyak 60 peratus anggota dan pegawai ATM tinggal di dalam kem.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kesemua projek rumah keluarga ATM telah dirancang secara menyeluruh dan akan diteruskan bergantung pada kedudukan kewangan negara.
Katanya, sebanyak 738 unit rumah keluarga ATM siap sepenuhnya di tiga kem iaitu Perak, Kelantan, Sarawak.
Tambah beliau, rumah yang masih dalam proses pembinaan pula melibatkan sebanyak 471 unit melibatkan lima kem iaitu di Kedah, Perlis, dan tiga di Sarawak
“Sebanyak 2,063 unit rumah keluarga ATM masih belum dibina di Negeri Sembilan, Kelantan, Sarawak dan Sabah,” katanya.