SANDAKAN, 22 Ogos – Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam hari ini menerima kunjungan Penasihat Pertahanan Amerika Syarikat, Kapt Brent Droste Sadler di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) di sini.
Menurut kenyataan MAWILLA 2, kunjungan pertama oleh wakil Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS) sejak Ganesh memegang tampuk kepimpinan TLDM di wilayah laut itu adalah bersempena tamatnya eksesais dan latihan tahunan Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) 2018 yang bertempat di sekitar Kota Belud dan Lahad Datu selama 10 hari pada hujung minggu lepas.
Menurutnya, kunjungan Brent ke MAWILLA 2 dilihat sebagai peluang untuk memperkukuhkan kerjasama serantau khasnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZone).
“Ia khususnya dari segi aspek keselamatan maritim, latihan ketenteraan, lawatan kapal TLAS, pelancongan ketenteraan serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang telah lama wujud diantara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut MAWILLA 2, kunjungan itu juga membuka peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat serta membolehkan kedua-dua angkatan bertukar maklumat dalam isu keselamatan serantau serta meneroka peluang kerjasama baharu terutamanya dalam bidang pertahanan.
“TLDM dan TLAS sentiasa berhubung dalam pelbagai aktiviti seperti latihan bersama, seminar dan mesyuarat yang melibatkan dua hala serta pertukaran pegawai dan anggota serta aktiviti pelbagai hala,” menurutnya. – BERNAMA