Home Diskusi Aidiladha, nilai sebuah pengorbanan

Aidiladha, nilai sebuah pengorbanan

by Air Times News Network

Hari Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar kepada  umat Islam di seluruh dunia. Ianya juga dikenali sebagai Hari Raya Haji, bersempena ibadah haji yang dilaksanakan umat Islam yang berkemampuan di tanah suci Mekah. Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu perayaan yang istimewa disambut di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Hari Raya Aidilfitri. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, dan solat sunat Aidiladha apabila menjelang pagi serta disusuli khutbah Aidiladha. Tarikh 10 Zulhijjah juga merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam A.S dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum bertemu di padang Arafah, di luar kota Mekah.

Kebiasaanya, sambutan seterusnya diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada bermula 10 hingga hari siang 13 Zulhijjah. Dari segi bahasa, korban bermaksud sesuatu yang dikorbankan kerana Allah SWT, manakala dari sudut syara‘, korban bermaksud menyembelih binatang tertentu pada masa-masa yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, ibadah korban yang dikerjakan pula adalah sebagai memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S kerana ketaatannya terhadap perintah Allah SWT di mana Nabi Ibrahim telah bermimpi yang melalui mimpinya Allah SWT telah memerintahkannya untuk menyembelih anaknya bernama Ismail. Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti”.

Setelah mendengar kata-kata dari ibunya, Nabi Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih”. Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim  pun membawa puteranya Nabi Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuatkan orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri.

Walau apa pun tuduhan terhadapnya, Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelingkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku”.

Justeru, Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai manusia, Nabi Ibrahim pun menggeletar sambil membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan perintah dari Allah SWT. Rentetan dari peristiwa ini, setiap tahun ketika perayaan Aidiladha, umat Islam akan menyembelih binatang peliharaan sebagai korban lalu mengagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan selain masyarakat setempat.

Umat Islam akan menyembelih binatang peliharaan sebagai korban dengan niat mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail, mencerminkan sifat ketakwaan dan ketaatannya kepada Allah SWT demi menegakkan agama Islam walaupun terpaksa mengorbankan anak kesayangannya sendiri. Sebagai seorang Islam, seharusnya kita menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut.

Peristiwa tersebut memberi makna yang cukup besar terutamanya dalam kehidupan hari ini di mana kebanyakan manusia semakin sibuk mengejar kemewahan demi kelangsungan hidup. Pengorbanan bukanlah suatu perkara yang mudah dilakukan, sebaliknya ia adalah sesuatu yang besar dan amat sukar dizahirkan.

Ibadah haji itu sendiri merupakan suatu pengorbanan apabila seseorang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan belanja untuk menunaikannya. Pengorbanan di antara sesama manusia pula seperti, apabila seorang suami berkorban jiwa dan raganya demi mencari rezeki dan membimbing keluarganya. Juga tidak terkecuali pengorbanan seorang isteri itu terhadap suami dan anak-anak dengan usaha memastikan setiap keperluan dan pengurusan rumahtangga teratur agar kebahagian terus dikecapi keluarganya.

Bagi seorang ibu pula, berjaga semalaman kerana prihatin terhadap keperluan anak yang sakit juga telah berkorban. Tidak terkecuali bagi ibu yang terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu untuk anaknya. Biar pun kelihatan kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan jika tidak sanggup berkorban serta mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata.

Dalam aspek kemasyarakatan, mereka yang bersikap ringan tulang dengan saling bantu membantu bukan sahaja akan mengeratkan silaturrahim di antara satu sama lain, malah kesanggupan berkorban dalam banyak hal pula mampu mewujudkan suasana sejahtera di dalam sesebuah komuniti masyarakat.

Sikap bekerjasama dan mengambil berat ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia bakal menjadikan umat Islam lebih kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang tidak sihat dari terus mempengaruhi masyarakat. Namun pengorbanan itu haruslah dengan setinggi-tinggi keikhlasan kerana Allah SWT iaitu demi mendapat keredhaan Allah, bukan dengan tujuan bermegah-megah demi kepentingan sendiri.

Harus diingat bahawa setiap dari kita berpotensi untuk melakukan pengorbanan. Semoga Aidiladha kali ini memberi sejuta makna buat diri kita dan saudara se-Islam lain di negara kita. Minal Aidin Wal Faizin, Selamat Hari Raya Aidiladha.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!