KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Seramai 1,200 peserta disasarkan menyertai acara larian ala tentera, Warriors Challenge 3.0 yang akan diadakan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini pada 24 Nov depan.
Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong berkata acara anjuran UPNM itu antaranya melibatkan cabaran di atas air, perlumbaan berhalangan sejauh dua kilometer, pendakian bukit dan memikul beg pasir serta kayu balak ke garisan penamat yang bakal menguji ketahanan peserta.
“Penganjuran program yang memasuki tahun ketiga ini memberi peluang kepada semua golongan untuk merasai pengalaman menyertai latihan ketenteraan yang tidak dapat diperoleh di mana-mana.
“Di samping itu, acara ini juga merupakan salah satu usaha bagi membantu Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mengumpulkan dana Tabung Pahlawan 2018 bagi membantu anggota veteran ATM yang kurang bernasib baik, balu dan anggota perkhidmatan yang memerlukan,” katanya dalam ucapan pelancaran Warriors Challenge 3.0 di sini, hari ini.
Beliau berkata seramai 1,000 peserta menyertai Warriors Challenge pada tahun lepas dan sebanyak RM50,000 berjaya dikutip yang telah disumbangkan ke Tabung Pahlawan.