Home Pertahanan dan Keselamatan Veteran askar kenang Hari Peringatan Tamat Perang Dunia Kedua

Veteran askar kenang Hari Peringatan Tamat Perang Dunia Kedua

by Air Times News Network

GEORGETOWN: Lebih 50 veteran askar dan orang berkumpul di Memorial Centopath di sini, bagi memperingati bekas rakan mereka dari Tentera Bersekutu dan unit pertahanan tempatan yang gugur ketika Perang Dunia Kedua.

Pengerusi Persatuan Veteran India Angkatan Tentera Malaysia (PERIM) Pulau Pinang, S Ganeson Samiah, 57, mengetuai semua jemputan yang hadir dengan meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Cenotaph yang dibina di Padang Kota Lama, di sini.

Ganeson Samiah berkata, ia sempena Hari Peringatan Tamat Perang Dunia Kedua yang disambut setiap tahun pada 15 Ogos, membabitkan ahli daripada gabungan persatuan veteran angkatan tentera Pulau Pinang.

Katanya, sambutan itu bertujuan memberi penghormatan dan memperingati perjuangan dan perkhidmatan bekas rakan mereka menentang serangan serta pencerobohan ke atas Malaysia sepanjang zaman Perang Dunia Kedua.

“Kita harus berterima kasih kepada veteran amnya dan pahlawan yang gugur di medan perang, khasnya ketika mempertahankan dan melindungi Raja, negara dan kebebasan Malaysia, sebelum ini.

“15 Ogos 1945 adalah hari mulia dan kami mengadakan Hari Peringatan Tamat Perang Dunia Kedua. Kami veteran ingin hidup dalam keadaan aman, selain berharap Malaysia tidak akan mengalami keadaan perang lagi.

“Hari ini, genaplah 73 tahun Jepun mengisytiharkan gencatan permusuhan, sekali gus tamatlah Perang Dunia Kedua dan kami berikrar, rela berkhidmat mempertahankan kedaulatan negara jika perkhidmatan masih diperlukan,” katanya.

Ganeson Samiah yang juga bekas Aircraftman Kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata demikian ketika merasmikan upacara berkenaan di sini, hari ini.

Terdahulu, masyarakat pelbagai agama turut bertafakur selama seminit mengikut ajaran masing-masing, sebelum kalungan bunga diletakkan di Tugu Cenotaph.

Tugu Cenotaph asalnya dibina bagi memperingati pahlawan yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama, selepas sebuah cawangan tempatan Persatuan Bekas Perajurit Malaya merayu untuk pembinaan struktur berkenaan, pada 1928.

Tugu peringatan bernilai 12,000 Dolar Selat itu diumumkan pada Hari Genjatan Senjata, pada 1929, selain kini Cenotaph berfungsi untuk memperingati pahlawan yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua dan tempoh Darurat.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!